SELANGOR FC
BERITA

Info Terkini Pemain | Noor Al-Rawabdeh

Jan 18, 2025 - FAS

Pemain import Selangor FC, Noor Al-Rawabdeh, telah menjalani rawatan pemulihan Anterior Cruciate Ligament (ACL) di kaki kirinya dengan penuh disiplin.

Beliau merupakan pemain tonggak pasukan yang sentiasa berjuang sehabis baik dalam padang, namun khidmat beliau terpaksa dilupakan selepas mengalami kecederaan ACL pada perlawanan Liga Super 2024/25 menentang PDRM FC pada 19 Oktober yang lalu di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Berdasarkan makluman daripada doktor dan ahli fisioterapi pasukan, sesi pemulihan ACL mengambil masa 6 ke 12 bulan, bergantung kepada individu. Progres yang ditunjukkan oleh Noor sangat memberangsangkan, mengikut protokol yang ditetapkan bagi para atlet profesional untuk sesi pemulihan kecederaan ACL. Jelas beliau bekerja keras mengikut setiap jadual yang disusunkan khas dengan penuh disiplin.  

Masa bergerak pantas, Noor kini telah menjalani sesi pemulihan selama dua bulan. Beliau menjalani pelbagai latihan kekuatan untuk kedua-dua belah lututnya, termasuklah latihan keseimbangan dan koordinasi di Red Giants Medical Centre, selain mendapat rawatan khusus dan terperinci bersama doktor dan ahli fisioterapi pasukan. Dalam masa yang sama, beliau juga komited melakukan sesi ‘hydrotherapy’ dan rawatan manual terapi sepanjang sembilan minggu yang lalu. Fasa ini juga adalah untuk memastikan atlet dapat mencapai kondisi ‘return to play’ dengan  lebih cepat. 

Selain daripada itu, Noor juga telah mendapat pendedahan lebih mendalam berkenaan nutrisi pemakanan yang diperlukan oleh atlet bagi mengiringi sesi pemulihan ACL dengan lebih sempurna. 

Terkini, beliau akan memulakan latihan ‘plyometric’ tidak lama lagi. Ini merupakan fasa yang sangat penting untuk meningkatkan kekuatan dan kepantasan dalam larian, selain membantu beliau mendapatkan semula keyakinan untuk beraksi di padang secara berperingkat, kerana sukan bola sepak melibatkan pelbagai pergerakan yang melibatkan larian.

Menurut pemain berjersi nombor 8 Gergasi Merah ini, beliau mahu terus melakukan progress yang baik, “Saya dapat merasakan keadaan diri saya bertambah baik, dari hari ke hari. Kekuatan otot dan kestabilan saya semakin bertambah, dan saya berharap dapat terus kembali ke tahap kecergasan penuh agar saya dapat kembali beraksi di padang mengikut masa yang telah ditetapkan. Saya percaya, keadaan otot saya sekarang lebih kuat berbanding sebelum ini, hasil daripada pelan pemulihan yang ditetapkan oleh Jabatan Sains Sukan Selangor FC.

“Walau bagaimanapun, fasa seterusnya akan lebih mencabar, kerana saya akan memulakan latihan asas joging dan berlari, fasa yang amat penting bagi mendapatkan semula keyakinan untuk beraksi. Dengan sokongan penuh daripada doktor dan ahli fisioterapi pasukan, saya harap dapat melepasi setiap fasa dengan sempurna dan kembali berlatih bersama rakan sepasukan yang lain.”

ACL menjadi kecederaan jangka masa panjang buat kali pertama untuk Noor, biarpun berjauhan daripada keluarga tercinta, beliau bersyukur ramai membantunya untuk terus cekal menjalani sesi pemulihan, “Berjauhan dengan keluarga dengan keadaan ini sedikit sebanyak sukar untuk saya, namun, saya amat bersyukur dapat sokongan yang cukup daripada kelab, rakan sepasukan dan orang sekeliling. Mereka membantu saya untuk kekal bermotivasi tinggi, dan saya berazam untuk kembali lebih kuat, menyumbang kejayaan kepada pasukan, dan berpeluang membantu Jordan di Kelayakan Piala Dunia nanti.”

Pihak pengurusan Selangor FC mendoakan Noor Al-Rawabdeh akan terus kekal positif bagi melalui setiap  latihan pemulihan dengan baik agar dapat kembali beraksi pada masa yang tepat. Terus kuat, Noor!

Demi Kebanggaan!